Wednesday, July 05, 2006

Minda Tabloid

Sejak kebelakangan ini, macam-macam peristiwa berlaku. Bukannya pelik jika sehari lebih lima puluh cerita boleh dimuatkan di dalam suratkhabar. Tetapi apabila cerita sensasi melebihi berita atau cerita bersifat ilmiah atau sekurang-kurangnya berisi, maka aku rasa terpanggil untuk menyentuh perkara ini.

Apa yang ada dalam minda orang-orang melayu sekarang ini, apabila disuakan dengan cerita Mawi? Meletup-letup "pakar-pakar tabloid" memberi jawaban, masing-masing kononnya lebih tahu dari seorang lagi. Begitu hebatnya penangan cerita Mawi, ada yang menyebelahi tunangnya kerana diketepikan, tak kurang juga yang menyebelahi Mawi sendiri, kerana simpati atas kembalinya bapanya ker Rahmatullah.

Itu belum cerita Siti dan Datuk K. Semua orang tahu cerita mereka. Malah ada yang melompat terus mengatakan sudah tahu cerita Siti dan Datuk K lebih awal dari tabloid. Pakar-pakar teori konspirasi lebih sedap membuat kesimpulan sebenarnya Siti bercinta dengan orang lain, Datuk K sekadar membantunya mengalih perhatian media.

Apa cerita pula dengan penceraian Erra dengan Yusry? Pakar-pakar berpendapat Yusry tak reti jaga bini. Ada yang mengatakan Erra ada lelaki lain. Lebih menarik lagi, ada yang mengatakan Yusry ni sebenarnya gay!

MasyaAllah!

Hebat betul minda melayu ni! Barang cerita sensasi, semuanya pakar. Bukan kira dosa menabur fitnah atau top-up ke atas fitnah yang asal, janji cerita yang terbit dari mulut mereka lebih hebat dari cerita yang sebelumnya. Kalau cerita asal kata artis ni pernah cerai dua kali, selepas disadur dan direncahi, artis itu pernah cerai tujuh kali!

Bukan tempat aku nak bercerita salah siapa. Ini bukan satu isu yang boleh diselesaikan dalam masa setahun dua. Dua puluh tahun pun belum tentu boleh. Tapi fikirkan sejenak. Bukankah kita pernah mengenali satu zaman di mana masalah minda tabloid di kalangan orang-orang melayu tidak ketara?

Atau mungkinkan aku silap, dan mungkinkah memang salah satu ciri orang melayu yang memang wujud tetapi tidak termaktub di dalam perlembagaan negara? Adakah aku pun masuk dalam kategori yang sama?

Senang cerita macam nilah. Kita semua tahu batas agama dan budaya. Si pembaca tabloid usahlah cepat percaya dengan berita-berita yang disensasikan. Cerita mesti berasaskan fakta, bukti dan saksi. Jangan dari percaya menjadi kepercayaan. Baca apa yang tersurat, tapi jangan lupa apa yang tersirat. Dan jangan sahaja baca apa yang tertulis, tetapi apa juga yang sengaja tidak ditulis!

No comments: