Tuesday, August 08, 2006

Resepi Citarasa Melayu

Aku ada jumpa resepi baru, hasil dari pergaulan sesama rakan-rakan seperjuangan samada di dunia nyata mahupun di alam maya. Sepanjang seumur hidup aku bergaul dengan mereka, macam-macam jenis melayu yang aku jumpa. Dan macam-macam jenis fahaman yang mereka bawa di samping percubaan mereka untuk mempengaruhi aku dengan fahaman mereka itu.

Aku duduk dan fikir setelah beberapa lama, melihat pelbagai rencah dan bahan yang terbentang di atas meja. Setelah 29 tahun lebih cuba memahami kelebihan dan kelemahan bahan-bahan tersebut, akhirnya aku pun mengadun satu resepi yang dipanggil Resepi Citarasa Melayu: Menjahanamkan Orang lain.

Bahan-bahan:

1x Sumber cerita (seboleh-bolehnya tidak dapat ditentukan kesahihannya)
3x Orang melayu pembawa cerita (seeloknya berkebolehan memanaskan cerita)
9x Orang melayu tipikal
Perasaan hasad dengki secukup rasa
Sikap menokok tambah cerita (sebagai penyedap rasa)

Cara memasak:

1. Sumber cerita tadi dipanaskan terlebih dahulu. Aku suka suam-suam kuku, tapi ada orang suka yang meletup-letup. Nak bagi goreng hangus pun boleh, ikut suka masing-masing kerana tak menjejaskan rasa.

2. Uli orang melayu pembawa cerita bersama-sama dengan kebolehan masing untuk membawa cerita. Selepas sebati, bentukkan adunan orang melayu pembawa cerita tadi menjadi sebuah mangkuk yang besar. Hasilnya, tiga buah mangkuk ayun.

3. Tuangkan sumber cerita yang telah siap dipanaskan tadi ke dalam 3 buah mangkuk tadi. Biarkan seketika untuk sumber cerita itu mendap dan kekal.

4. Uli 9 orang melayu yang lain, dan bentukkan kepada mangkuk-mangkuk yang lebih kecil. Tuangkan lebihan sumber cerita tadi ke dalam mangkuk-mangkuk ayun tersebut.

5. Tambahkan perasaan hasad dengki secukup rasa. Biasanya aku letak sikit saja, tapi ada orang suka tambah pada 3 mangkuk yang besar tadi.

6. Hidangkan kepada media.



Selamat Mencuba!

No comments: