Bila kita jumpa orang Melayu dirantau kita rasa memang seronok. Rasa macam tak habis-habis nak bercerita kan, tapi tu kalau kita terjumpa dengan Melayu yang masih tahu asal usul. Bukan Melayu yang bila naik saja flight terus tak reti cakap BM. Terus minum wine dan beer dan tak kenal halal haram dunia. Muka-muka belacan ni walau macamana pun – tetap nampak belacannya juga. Mungkin naluri kita sebagai Melayu ni kuat, jadi senang kita nak kenal orang-orang sekapal ni.
Tak hairan kalau bukan bangsa Melayu yang tak mahu bercakap BM. Tapi bila bangsa sendiri tak mahu cakap BM, terasa juga panas dalam hati ni. Tapi, tu hak individu. Nak cakap bahasa apa pun, ikutlah. Jangan sampai rasa hidung tu yang menongkat langit sudah, sebab kita selalu kena ingat bahawa kita ni yang menjunjung langit tu.
Apa identiti orang Melayu ni? Well, ada ke identiti Melayu ni sebenarnya? Trademark orang Melayu bukan lagi hidung pesek, ramai yang hidung mancung Melayu ni jadi macamana nak kenal orang Melayu ni kalau bukan dengan bahasa yang kita guna? Rasanya, trademark kita ni hanyalah bahasa kita, yang lain dah tak ada keasliannya. Sebabnya banyak pengaruh dari negara asing yang dah kita serapkan dalam budaya kita – sejak zaman nenek moyang lagi. Kalau nak ikut dari bahasa kita pula, banyak pengaruh bahasa asing juga, cuma kita ada lenggok dan langgam kita sendiri. Itu rasanya bolehlah kita jadikan identiti kita. Dan mungkin satu lagi – belacan!
Pernah kawan-kawan menegur kenapa tak tulis rencana dalam English? Jawabnya senang, kita ada target audience kita sendiri. Berapa ramai remaja Melayu kita yang buka surat khabar English? Jadi kalau ada informasi yang hendak disampaikan, rasanya senang kalau rencana ditulis dalam BM. At least, remaja kita ni boleh juga selit info-info yang dibaca dalam suratkhabar bila bersembang-sembang dengan kawan-kawan.
Berkeupayaan bercakap dan menulis dalam English memang advantage dan memang sangat-sangat dialu-alukan tapi jangan kita sesekali membelakangkan bahasa kita sendiri. Kalau kita nak lihat dunia ni dari mata burung, kita mesti sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi segala budaya kuning, merah, biru dan hitam dan jangan cepat melatah dan lupa diri. Tapi kalau kita belum lagi bersedia untuk lihat dunia dari mata burung, jangan pula kita sekat minda kita melihat dunia ini dari bawah tempurung saja. Buatlah lubang-lubang dari dalam tempurung tu dan tengok sekeliling. Masih luas juga pemandangannya kan.
No comments:
Post a Comment