Dulu, di zaman aku belajar degree, aku dan kawan2 rapat mula berjinak2 dengan muzik. Pada dasarnya mereka sudahpun mahir bermain gitar sejak sekolah, sedangkan aku cuma baru belajar gitar pada tahun satu diploma. Jadi demi untuk belajar sambil berhibur, kami berenam mula membiasakan diri ke jamming studio. Di Skudai, tak banyak jamming studio pada zaman tu, jadi kami memilih untuk ke sebuah studio di Skudai Plaza di Skudai Baru.
Oleh kerana selalu sangat jamming di situ, kami mula rapat dengan Brader Jay, pengusaha studio tersebut. Studio tu kecik aje, ada dua studio muzik dengan kelengkapan asas, fasiliti rakaman yang ala kadar dan insulasi bunyi yang diperbuat daripada gabus telur. Tapi ia cukup untuk memenuhi keperluan kami, yang masing2 tak mampu nak beli walau sebuah gitar elektrik second hand.
Cukup pasal kami. Cerita kali ini bukan pasal kami. Ia mengenai Brader Jay.
Brader Jay berbangsa Cina, aku anggarkan berumur 5-6 tahun lagi tua dari kami. Kadang2 bila dia bosan, dia lepak bersama kami, sesekali jamming bersama2. Waktu dia lepak bersama kami, isterinya akan menjaga studio di luar.
Beberapa bulan selepas itu, Brader Jay membuat keputusan untuk menutup studio tersebut. Skudai Plaza adalah salah satu pusat membeli belah paling tak strategik di Malaysia. Tidak ada perancangan serta rekabentuknya juga tak membantu perniagaan di dalamnya. Masa kami berkunjung ke studio Brader Jay, banyak kedai2 kosong tak berpenghuni. Jadi keputusan Brader Jay tak mengejutkan kami. Pada kami, nampaknya kena cari studio lain. Itu saja.
Beberapa bulan selepas itu, kami dapat tahu Brader Jay membuka studio baru di Taman Universiti, hanya 5 minit dari rumah sewa kami. Kami kembali berentap di studio barunya. Namun ia tidak semaju studio lamanya. Studio kali ini lebih kecil, hanya ada satu studio muzik, dan hanya di bahagian depan tingkat atas rumah kedai. Bahagian belakang dijadikan tempat tinggal.
Aku sendiri tak tahu macamana isteri dan anak2 kecil Brader Jay boleh tahan melayan pelanggan studio yang berentap sampai pukul 3 pagi. Pada ketika ini juga aku baru dapat tahu sebenarnya Brader Jay dan keluarganya adalah Muslim Mualaf, kerana isterinya mula memakai tudung.
Tapi, seperti mana studionya sebelum ini, perniagaannya lama-kelamaan tidak mampu bertahan. Akhirnya Brader Jay mengalah lalu menutup perniagaan jamming studionya sama sekali. Kami pun rasa sedih juga, kerana di studio Brader Jaylah skil muzik kami berkembang maju. Seterusnya kami mencari studio baru tempat mengasah bakat.
Tak lama selepas itu, aku terserempak dengan Brader Jay membuka gerai menjual pisang goreng di depan pasaraya Bersatu Jaya. Aku tengok anak2 dia lepak di belakang gerai membaca buku, nampak seronok. Aku beli pisang goreng dua ringgit, bawak balik ke rumah. Johor amat popular dengan pisang goreng bercicah sambal kicap. Dan pisang goreng Brader Jay adalah antara yang paling enak aku pernah rasa.
Dari situ, aku dan kawan2 lain hampir setiap hari membelasah pisang goreng Brader Jay selama dekat 5 tahun. Perniagaan Brader Jay nampak semakin maju, dari gerai kecil, berpindah ke gerai yang lebih besar lengkap dengan ubi, keropok dan cendawan goreng serta minuman sejuk, hinggalah akhirnya berpindah ke gerai tetap binaan majlis daerah di pasar Taman Universiti.
Aku seronok tengok perniagaan Brader Jay yang semakin maju, yang sekarang mampu menggaji beberapa orang pembantu. Tak silap aku anak dia pun dah masuk sekolah menengah sekarang. Nampak hidupnya semakin selesa.
Namun ada sesuatu yang menarik tentang hidup Brader Jay. Dari pengamatan aku, Brader Jay dan keluarganya agak menyendiri. Aku lihat perniagaannya jauh lebih maju dari gerai2 pisang goreng yang berjiran dengannya. Gerai Brader Jay mempunyai lebih ramai pengunjung dari gerai2 Melayu di sekelilingnya. Nak tahu apa yang aku dengar masa aku berjalan kaki melalui gerai2 tersebut sebelum tiba ke gerai Brader Jay?
"Dik, meh beli kat sini. Sana tu kedai cina, ni kedai melayu."
"Bang, beli sini bang. Sini dijamin halal."
Aku mula dapat mengagak apa yang dilalui oleh Brader Jay. Bukan orang Melayu saja yang jadi mangsa hasad dengki orang Melayu. Orang Cina pun boleh jadi mangsa. Aku juga dapat mengagak, Brader Jay yang memeluk agama Islam mungkin mahu bergaul dengan orang2 Melayu Muslim yang lain. Tapi apa Melayu buat? Kerana dia makin maju, Brader Jay menjadi mangsa hasad dengki Melayu.
Aku pun tak paham dengan perangai Melayu ni. Kalau dah nampak orang tu maju, cubalah saing dengan dia. Carilah resepi baru yang lebih hebat. Sekurang2nya sainglah dengan harga yang lebih murah. Balik2 taktik memburuk2kan lawan jugak yang digunakan. Apa kaitan perniagaan Cina atau Melayu dengan kualiti produk tersebut? Brader Jay tu Muslim, produk yang dijualnya tu pulak semua berasaskan sayur dan buah. Apekejadah kaitannya dengan halal?
Teruk betul perangai Melayu ni. Ini hanya pengenalan bagi dunia hasad-dengki Melayu, dan Brader Jay malangnya telah merasa bahangnya. Namun aku tahu, Brader Jay cekal. Dia dah pernah merasa perniagaannya jatuh, tapi dia bingkas bangun mencari rezeki lain bagi menyara keluarga. Aku doakan Brader Jay berjaya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment