Friday, January 05, 2007

Antara IQ dengan EQ

Assalamualaikum.

Kali ini mari bicara mengenai sistem pendidikan Malaysia. Rata-rata di internet kita boleh baca ramai yang mengkritik sistem pendidikan Malaysia, terutamanya transisi antara sekolah menengah dengan pengajian kolej/universiti. Banyak yang telah disentuh dan dikupas, ada yang berdasarkan fakta, namun banyak yang sekadar berlandaskan pendapat orang ketiga.

Tapi ada satu perkara yang jelas, ramai yang merasakan sistem pendidikan Malaysia terlalu berhala-tujukan peperiksaan. Memang benar, dan aku yang dibesarkan dalam keluarga pendidik pun mengakui bahawa sistem pendidikan Malaysia terlalu tertumpu kepada peperiksaan sahaja.

Tapi keputusan peperiksaan tidak sesekali melambangkan tahap pemikiran seseorang. Sistem peperiksaan Malaysia juga terlalu berkonsepkan menghafal berbanding memahami. Seseorang yang kurang mampu menghafal (macam aku) akan dilabel sebagai bodoh, lembab dan hanya sesuai duduk di dalam kelas corot. Tak banyak di dalam sistem pendidikan sekolah yang menggalakkan percambahan pemikiran analitikal, apetah lagi meningkatkan IQ.

Pada dasarnya IQ (Intelligence Quotient) kerapkali dikaitkan dengan matapelajaran Matematik. Tetapi sebenarnya IQ ini lebih kepada mengukur kemampuan seseorang menganalisa sesuatu situasi dan menyelesaikan masalah itu menggunakan logik. Kebolehan menghafal tidak akan menjadikan IQ anda tinggi. Jadi berapa matapelajaran di sekolah yang boleh menjana IQ yang lebih tinggi? Fizik, Kimia, Biologi dan matapelajaran teras berasaskan sains yang lain. Habis, bagaimana dengan pelajar-pelajar bukan berteraskan sains?

Maka ramailah yang merasakan IQ tidak sepatutnya dijadikan kayu pengukur kepandaian seseorang itu. Malah ada yang lebih kehadapan lagi dengan mencadangkan supaya EQ pula digunakan. Ditambah pula dengan kemunculan beberapa syarikat korporat terkenal yang memerlukan bakal pekerjanya mempunyai EQ yang tinggi. Emotional Quotient? Apa pula kena mengenanya? Aku hanya dapat merasionalkan bahawa pencadang itu cuba memberi muka kepada pelajar-pelajar bukan berhaluan sains. Tapi cadangan menggunakan EQ itu sendiri boleh aku tempelak sebagai cadangan mengarut. Kenapa?

EQ adalah kayu pengukur untuk tahap emosi seseorang itu, termasuklah sifat interaksi-sosialnya, kemampuan berkomunikasi dan berhubung dengan orang lain dan sebagainya. Masalah dengan EQ ialah, ia tidak boleh dibandingkan dengan sifat orang itu yang asal. Contoh di sini: Adakah EQ yang tinggi menjamin dia seorang yang peramah dan stabil emosi? Bagaimana jika peramah boleh diintepretasi sebagai suka mengorat dan stabil emosi ditafsir sebagai bersikap selamba?

Di sini masalah penggunaan EQ timbul. EQ tidak boleh digunakan untuk membandingkan sifat sosial seseorang dengan orang lain. Malah, ia tidak boleh digunakan untuk memastikan seseorang itu jujur, amanah, berkepimpinan, boleh dibawa berbincang. Begitu juga ia tidak dapat menentukan samada seseorang itu tidak mempunyai sifat-sifat negatif seperti cepat merajuk, suka jaga tepi kain orang, mengada-ada dan sebagainya.

Nah, sekarang EQ telah aku ketepikan. Menghafal juga dah aku kritik. Yang tinggal ialah IQ. Tetapi, bagi seseorang dalam situasi aku, IQ juga tidak melambangkan kebijaksanaan. Ujian IQ banyak berlandaskan ujian visual. Sebagai seorang yang dilatih di dalam bidang grafik dan senibina, seseorang itu boleh mempunyai satu lagi kelebihan iaitu pattern recognition.

Dalam situasi yang sama, seorang grandmaster catur tidak bermakna dia seorang yang bijak. Ketika bermain catur, dia akan mengenali pergerakkan di atas papan catur. Namun di dalam fikirannya, dia tidak menggunakan proses problem solving, iaitu menilai masalah di hadapannya dan membuat perkiraan pergerakkan yang seterusnya; tetapi dia menggunakan proses pattern recognition, yang mana dia mencari di dalam memorinya pergerakkan yang sama yang pernah dilihatnya, membuat perbandingan, dan seterusnya tahu apa pergerakkan yang selanjutnya.

Seorang akitek mempunyai sekurang-kurangnya secebis kemampuan pattern recognition ini. Akibatnya? Ketika menjalani ujian IQ, seorang akitek boleh menjana keputusan antara 125 hingga 145 mata. Adakah itu bermakna dia bijaksana? Atau sekadar mampu mengenal corak pada soalan-soalan tersebut? Jadi adakah seseorang itu dikira mengelat sekiranya mampu mendapat keputusan setinggi 145IQ?

Jadi ke mana hala tuju pendidikan Malaysia kalau bukan menghafal, bukan EQ dan bukan IQ?

Itu satu jawapan yang aku sendiri tak pasti. Aku mahu mencadangkan agar lebih banyak problem solving diperkenalkan di dalam kurikulum pelajaran di sekolah-sekolah. Tetapi bukan semua matapelajaran boleh mengadaptasi proses ini, kerana memang ada matapelajaran yang perlukan pelajar menghafal seperti Agama Islam, Sejarah, Geografi dan sebagainya. Mungkin pada masa akan datang kita boleh menilai kembali topik ini. Tetapi buat masa ini, inilah pendapat aku.