Thursday, July 09, 2009

Kembali ke Bahasa Malaysia (bah. 1)

Jadi mereka2 yang telah murtad diinsafkan kembali ke pangkal jalan. Mungkin itulah slogan yang dilayangkan di panji2 pejuang Bahasa Malaysia sekarang. Tapi betulkah itu penyelesaian terbaik untuk masa depan rakyat Malaysia seluruhnya? Adakah kebanggaan lima minit sekarang lebih penting dari kejayaan lima tahun akan datang?

Aku sendiri terkejut dengan keputusan kerajaan untuk kembali ke titik sifar. Tun Mahathir ada visinya sendiri apabila mencadangkan pengunaan Bahasa Inggeris untuk pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains. Aku mengalu2kan langkah tersebut, kerana pada dasarnya pengajaran dan pembelajaran di universiti sendiri amat bias terhadap Bahasa Inggeris. Kalau pengetahuan asas telah dibina dengan vokabulari Bahasa Inggeris, tak susah untuk terus melompat masuk ke dalam dunia ilmu yang lebih luas, terutamanya dunia yang disokong oleh sumber internet tanpa batasan.

Bijakkah langkah ini? Tan Sri Muhyiddin ada mengemukakan langkah2 sokongan untuk memantapkan lagi Bahasa Inggeris. Aku belum sempat meneroka cadangannya. Tetapi setakat ini, aku amat sedih dengan perkembangan (atau lebih tepat lagi, pengecutan) terbaru dalam lapangan pendidikan Malaysia ini.

Monday, October 27, 2008

Brader Jay

Dulu, di zaman aku belajar degree, aku dan kawan2 rapat mula berjinak2 dengan muzik. Pada dasarnya mereka sudahpun mahir bermain gitar sejak sekolah, sedangkan aku cuma baru belajar gitar pada tahun satu diploma. Jadi demi untuk belajar sambil berhibur, kami berenam mula membiasakan diri ke jamming studio. Di Skudai, tak banyak jamming studio pada zaman tu, jadi kami memilih untuk ke sebuah studio di Skudai Plaza di Skudai Baru.

Oleh kerana selalu sangat jamming di situ, kami mula rapat dengan Brader Jay, pengusaha studio tersebut. Studio tu kecik aje, ada dua studio muzik dengan kelengkapan asas, fasiliti rakaman yang ala kadar dan insulasi bunyi yang diperbuat daripada gabus telur. Tapi ia cukup untuk memenuhi keperluan kami, yang masing2 tak mampu nak beli walau sebuah gitar elektrik second hand.

Cukup pasal kami. Cerita kali ini bukan pasal kami. Ia mengenai Brader Jay.

Brader Jay berbangsa Cina, aku anggarkan berumur 5-6 tahun lagi tua dari kami. Kadang2 bila dia bosan, dia lepak bersama kami, sesekali jamming bersama2. Waktu dia lepak bersama kami, isterinya akan menjaga studio di luar.

Beberapa bulan selepas itu, Brader Jay membuat keputusan untuk menutup studio tersebut. Skudai Plaza adalah salah satu pusat membeli belah paling tak strategik di Malaysia. Tidak ada perancangan serta rekabentuknya juga tak membantu perniagaan di dalamnya. Masa kami berkunjung ke studio Brader Jay, banyak kedai2 kosong tak berpenghuni. Jadi keputusan Brader Jay tak mengejutkan kami. Pada kami, nampaknya kena cari studio lain. Itu saja.

Beberapa bulan selepas itu, kami dapat tahu Brader Jay membuka studio baru di Taman Universiti, hanya 5 minit dari rumah sewa kami. Kami kembali berentap di studio barunya. Namun ia tidak semaju studio lamanya. Studio kali ini lebih kecil, hanya ada satu studio muzik, dan hanya di bahagian depan tingkat atas rumah kedai. Bahagian belakang dijadikan tempat tinggal.

Aku sendiri tak tahu macamana isteri dan anak2 kecil Brader Jay boleh tahan melayan pelanggan studio yang berentap sampai pukul 3 pagi. Pada ketika ini juga aku baru dapat tahu sebenarnya Brader Jay dan keluarganya adalah Muslim Mualaf, kerana isterinya mula memakai tudung.

Tapi, seperti mana studionya sebelum ini, perniagaannya lama-kelamaan tidak mampu bertahan. Akhirnya Brader Jay mengalah lalu menutup perniagaan jamming studionya sama sekali. Kami pun rasa sedih juga, kerana di studio Brader Jaylah skil muzik kami berkembang maju. Seterusnya kami mencari studio baru tempat mengasah bakat.

Tak lama selepas itu, aku terserempak dengan Brader Jay membuka gerai menjual pisang goreng di depan pasaraya Bersatu Jaya. Aku tengok anak2 dia lepak di belakang gerai membaca buku, nampak seronok. Aku beli pisang goreng dua ringgit, bawak balik ke rumah. Johor amat popular dengan pisang goreng bercicah sambal kicap. Dan pisang goreng Brader Jay adalah antara yang paling enak aku pernah rasa.

Dari situ, aku dan kawan2 lain hampir setiap hari membelasah pisang goreng Brader Jay selama dekat 5 tahun. Perniagaan Brader Jay nampak semakin maju, dari gerai kecil, berpindah ke gerai yang lebih besar lengkap dengan ubi, keropok dan cendawan goreng serta minuman sejuk, hinggalah akhirnya berpindah ke gerai tetap binaan majlis daerah di pasar Taman Universiti.

Aku seronok tengok perniagaan Brader Jay yang semakin maju, yang sekarang mampu menggaji beberapa orang pembantu. Tak silap aku anak dia pun dah masuk sekolah menengah sekarang. Nampak hidupnya semakin selesa.

Namun ada sesuatu yang menarik tentang hidup Brader Jay. Dari pengamatan aku, Brader Jay dan keluarganya agak menyendiri. Aku lihat perniagaannya jauh lebih maju dari gerai2 pisang goreng yang berjiran dengannya. Gerai Brader Jay mempunyai lebih ramai pengunjung dari gerai2 Melayu di sekelilingnya. Nak tahu apa yang aku dengar masa aku berjalan kaki melalui gerai2 tersebut sebelum tiba ke gerai Brader Jay?

"Dik, meh beli kat sini. Sana tu kedai cina, ni kedai melayu."

"Bang, beli sini bang. Sini dijamin halal."

Aku mula dapat mengagak apa yang dilalui oleh Brader Jay. Bukan orang Melayu saja yang jadi mangsa hasad dengki orang Melayu. Orang Cina pun boleh jadi mangsa. Aku juga dapat mengagak, Brader Jay yang memeluk agama Islam mungkin mahu bergaul dengan orang2 Melayu Muslim yang lain. Tapi apa Melayu buat? Kerana dia makin maju, Brader Jay menjadi mangsa hasad dengki Melayu.

Aku pun tak paham dengan perangai Melayu ni. Kalau dah nampak orang tu maju, cubalah saing dengan dia. Carilah resepi baru yang lebih hebat. Sekurang2nya sainglah dengan harga yang lebih murah. Balik2 taktik memburuk2kan lawan jugak yang digunakan. Apa kaitan perniagaan Cina atau Melayu dengan kualiti produk tersebut? Brader Jay tu Muslim, produk yang dijualnya tu pulak semua berasaskan sayur dan buah. Apekejadah kaitannya dengan halal?

Teruk betul perangai Melayu ni. Ini hanya pengenalan bagi dunia hasad-dengki Melayu, dan Brader Jay malangnya telah merasa bahangnya. Namun aku tahu, Brader Jay cekal. Dia dah pernah merasa perniagaannya jatuh, tapi dia bingkas bangun mencari rezeki lain bagi menyara keluarga. Aku doakan Brader Jay berjaya.

Friday, October 24, 2008

Melayu dengan Teknologi

Beberapa tahun dulu aku terbaca sepotong ayat dalam buku Transitlounge yang amat menarik minat aku. Secara ringkasnya ia berbunyi begini:

"Manusia akan menggunakan teknologi untuk dua perkara: seks dan perang."

Aku dah tak ingat siapa tulis dalam buku tu, kerana ia merupakan koleksi pelbagai penulis, pemikir serta cendekiawan dalam bidang teknologi yang menggambarkan masa depan. Cuba renungkan sejenak apa maksud potongan ayat di atas. Betul atau tidak?

Cuba teka benda pertama yang dicari menggunakan enjin carian di internet? Apakah agaknya salah satu hasil utama teknologi robotik? Fikirkan apakah benda yang akan divideokan oleh pengguna telefon bimbit pertama dengan kemampuan video?

Teknologi banyak kebaikannya. Tetapi manusia berkemampuan memutar belit kebaikan teknologi itu bagi melampiaskan nafsunya, baik satu cara mahupun yang lain. Telefon bimbit pada awalnya membebaskan kita dari tersangkut di talian tanah. Tak perlu lagi bersorok2 menggunakan telefon rumah untuk menghubungi awek masing2. Tak perlu lagi beratur di pondok telefon awam yang sememangnya tak ada privasi. Mulalah era bergayut tanpa tali di dalam bilik, berseorangan, berguling2 atas katil, menutur dan mendengar kata2 manis dari yang tercinta.

Kemudian datang pula zaman SMS. Kalau bergayut di telefon bimbit mungkin terlalu mahal bagi sesetengah orang, SMS adalah cara alternatif menghubungi yang tersayang. Tapi SMS ni lagi dahsyat implikasinya. SMS di Malaysia meminjam sayap surat layang yang pada awalnya hanya merangkumi surat berantai. Tapi kemudiannya berubah membawa skandal2 terkini, cerita2 panas dan fitnah atau hasutan yang terhebat.

Seterusnya, telefon bimbit ini dilengkapi pula dengan kamera statik dan kamera video. Wah, bertambah seronok kita menggunakannya. Tapi penyalahgunaannya pun mudah juga. Habis semua adegan2 bilik tidur dirakamnya. Ada yang menjadi pelakon, ada yang rakam sorok2, dan tak kurang juga yang jadi pengarah filem porno Melayu terunggul! Tak cukup simpan sendiri, diforwardkan pula kepada kawan2, dan akhirnya hinggap di blog2 Melayu Boleh dan yang sewaktu dengannya.

Aku tak tahu macamana diorang akan salah gunakan 3G, skrin sesentuh, MP3 player atau kemampuan2 terbaru yang dimuatkan dalam telefon bimbit masa kini. Tang getaran telefon tu, jangan ceritalah. Tak terbayang aku macamana orang nak salah gunakan getaran telefon tu...

Monday, October 20, 2008

Melayu dengan "First postnya"

Dalam banyak2 forum dan blog yang aku kunjunginya, kerap kali ada mangkuk yang cukup seronok memberi komen balas dengan "akulah yang pertama!", "am i the first?", "i'm first!", "FIRST!" dan sebagainya.

A P A H A L ?

(kalau dalam Bahasa Inggeris, APAHAL tu akan aku gantikan dengan WTF? Cuma dalam BM nampak sopan sikit...)

Apakah obsesi orang2 melayu dan Malaysia secara umumnya dengan reply "first" ni? Kemaruk ke? Seronok sangat? Atau adakah ini unjuran budaya SMS yang semakin menular dalam masyarakat Malaysia? Pada awalnya aku tak ambik kisah pasal budaya "first" ni. Aku selalu jugak kunjungi forum2 antarabangsa. Memang benda ni selalu berlaku. Tapi benda2 ni biasanya dilakukan oleh para remaja, bukan bapak orang berumur 35 tahun!

Lemah betul...

Wednesday, October 01, 2008

Selamat Hari Raya dari perantauan

Salam lagi.

Sebenarnya aku dah lama tulis benda ni, tapi baru sekarang sempat nak update. Aku tak beraya di Malaysia buat tahun kedua berturut2. Beraya di Sheffield ni pun sebenarnya dah nak sama macam beraya di Malaysia, cuma sejuk sikit. Komuniti Melayu di Sheffield ni adalah antara yang terbesar di UK. Kalau dicampur dengan komuniti Muslim bukan Melayu, bertambah-tambahlah besarnya.

Masa nilah yang paling seronok untuk membanding bagaimana masyarakat Muslim yang lain menyambut hari lebaran. Hari sebelum hari raya, tiba2 semua kedai gunting rambut dibuka sampai lewat malam. Selalunya pukul 5 dah tutup. Sepanjang Staniforth Road di Darnal orang ramai berlegar2 di luar kedai menunggu giliran. Kebanyakkannya komuniti Pakistan, tetapi terdapat juga komuniti Bangladesh dan Sri Lanka yang sama2 menumpang diskaun hari raya.

Satu benda yang mereka kerap perkatakan mengenai orang2 Melayu ialah kekuatan kita dalam hidup bermasyarakat. Pada dasarnya, aku pun nampak benda yang sama dalam masyarakat mereka. Tetapi aku sengaja biarkan kerana aku nak tahu apa yang mereka ingin perkatakan.

Secara ringkasnya, perbualan itu berkisar dari hal kenduri, program suai kenal dan ikatan ihram di kalangan masyarakat Melayu di Sheffield, sampailah kepada isu biasiswa. Mereka kagum dengan kemampuan kerajaan Malaysia menaja beribu-ribu rakyat Malaysia untuk belajar di UK. Di negara mereka, jangan harap (ini kata mereka sendiri). Mereka tumpang bangga kerana Malaysia, sebuah negara Islam, melihat kemajuan dari pembangunan ilmu di kalangan rakyatnya sebagai satu aset. Aku setuju.

Cuma di mata aku, aku nampak kadang-kala kerajaan kita terlalu memanjakan orang2 Melayu. Aku tidak mempersoalkan mengenai kelayakan. Tetapi aku lebih suka sekiranya kerajaan lebih terbuka dalam penganugerahan tajaan tersebut. Aku tak mahu ada orang yang ditaja semata2 kerana dia "anak seseorang" atau kerana dia "kenal dengan menteri itu dan ini".

Aku bangga dengan apa yang Malaysia anugerahkan kepada rakyatnya. Tapi bak kata pepatah, diberi betis, nak paha. Ah, peduli apa. Aku nak semua satu badan terus! Kita boleh maju terus ke depan, kenapa nak sorok2 paha pulak?

Selamat Hari Raya!

Tuesday, September 23, 2008

Persepsi terhadap pendidikan di Malaysia vs di UK

Soalan yang paling popular dikemukakan oleh lepasan SPM/STPM ialah apa beza belajar di luar negara (yang kerap disoal pada aku ialah di UK) dengan belajar di Malaysia. Seterusnya disusuli dengan kenapa orang kata belajar di UK tak sama dengan belajar di Malaysia.

Okay, mula2 sekali, MEMANG tak sama.

Sebenarnya tak banyak beza antara pendidikan di peringkat atasan (kolej atau universiti) di Malaysia dengan di UK. Subjeknya sama, pengisian dan bahannya juga kerapkali sama. Malah ada kursus yang meminjam terus dari kurikulum sekolah2 di UK (aku merujuk kepada semua IPT tempatan, bukan IPTA sahaja). Jadi apa beza sebenar antaranya?

Fasiliti? Senang cerita, ada fasiliti universiti Malaysia jauh melangkaui fasiliti di universiti2 UK.

Sumber? Duit mungkin kekangan utama, tetapi universiti2 di Malaysia juga telah mula melanggan penerbitan online.

Perbezaan paling ketara yang aku dapati antara belajar di IPT tempatan dengan belajar di UK adalah atitud terhadap pengetahuan di kalangan pelajar. Mari berkongsi satu kisah benar:

Sewaktu aku di UTM, aku ada menceburkan diri dalam research2 terbaru. Cuma sekadar membantu profesor dan pakar2 di fakulti aku menghasilkan kajian terbaru. Bidang aku dalam Pengajian Senibina belum ada lagi di fakulti tu, jadi aku kenalah menceburkan diri dalam bidang yang lain buat sementara waktu. Oleh kerana kepakaran tak sama, aku cuma meminjamkan kebolehan aku mengendalikan komputer serta software2 yang ada.

Tapi aku ada sumber lain yang boleh membantu research tersebut. Pelajar2ku.

Jadi aku pun mulalah mewar2kan research2 terbaru ni, dengan anggapan dapat menarik minat mereka untuk memajukan lagi pengetahuan sejagat melalui penglibatan mereka. Seperti yang kita sedia maklum, di usia muda ni, kita lebih aktif dan cenderung terhadap benda2 baru. Aku mahu mereka excited terhadap research, supaya tenaga ni boleh digembeling oleh profesor dan pakar2 sefakulti denganku. Aku mahu mereka melibatkan diri dalam research2 ini.

Tapi soalah pertama yang dikemukakan oleh pelajar2 aku ialah:

"Research ni ada masuk dalam exam tak?"

Secara sopan dan ilmiah aku halau budak tu dari hidup aku. Soalan itu mudah. Jawapannya pun mudah. Tapi aku risaukan implikasi soalan itu. Adakah pelajar2 di Malaysia hanya mahu belajar jika topik tersebut akan keluar di dalam peperiksaan? Tidakkah ini menggambarkan betapa pelajar Malaysia amat berorientasikan peperiksaan semata2?

Berbeza dengan ketika aku mengaji di UK ini. Ketika aku di UCL (London) dulu, emel aku penuh dengan soalan bertubi2 dari pelajar2 undergrad yang amat tagihkan pengetahuan baru. Kadang2 aku rasa malu kerana aku belum sempat membuat penemuan baru dari pertemuan di minggu sebelumnya. Ini budak2 hingusan yang bercakaran mahu secebis ilmu yang tak seberapa dariku agar diorang dapat memajukan diri sendiri, dan seterusnya bersaing selepas menamatkan pengajian kelak.

Mereka ada persepsi yang amat berbeza terhadap pendidikan di Malaysia. Di Malaysia, segulung ijazah adalah tiket untuk makan gaji minima RM2000, dengan jaminan gaji minima sekurang2nya RM4000 dalam tempoh 10 tahun. Adakah ibu bapa di Malaysia bertanggungjawab menyemai idea yang terpesong ini?

Ijazah bukan segala2nya. Ia hanya tiket masuk ke stadium dengan jaminan ada tempat duduk. Ia tak bermakna kita akan dapat duduk grandstand. Ada juga orang tanpa tiket dapat duduk di grandstand, malah duduk di tempat VIP lagi.

Aku rasa kita ada persepsi yang salah terhadap sekeping ijazah. Ia bukan tiket untuk senang makan gaji!

Monday, September 01, 2008

Kalau Aku: Bumiputera

Aku akan mulakan sesi perbincangan idea2 yg terlintas di kepala sepanjang beberapa bulan yang lepas. Perkembangan demi perkembangan dalam kancah politik dan sosial di Malaysia membuatkan aku yang melepak di pinggir bandar Sheffield ni menongkah perspektif luaran, membolehkan aku melihat segala2nya dari jauh.

"Apa yang kau nampak?"

Aku nampak isu utama yang kerap berkisar ialah isu bumiputera. Antara sebab kenapa aku agak menumpukan perhatian dalam isu bumiputera ialah apabila Anwar Ibrahim bertegas menjadikan isu hak kesamarataan sebagai teras perjuangannya. Secara dasarnya aku sebagai seorang akademik takde masalah nak menyokong meritokrasi - berikan ruang kepada yang boleh, bukan yang menagih - tetapi itu bukan isunya.

Rata2 Melayu yang aku jumpa, tak kira penyokong kerajaan atau pembangkang, agak gusar apabila rakyat bukan bumiputera semakin lantang mengkritik dasar kerajaan terutamanya DEB yang byk memberi kelebihan kepada Melayu. Tapi, pada masa yang sama, sebahagian besar mereka ini adalah penyokong Pakatan Rakyat. Eh, tak baca manifesto PR ke? Kalau takut hak Melayu ditarik balik, apa cerita sokong PR?

"Lesser than two evils".

Fair enough. Pilihlah yang kurang jahat. Satu pendirian yang valid dan legit. Mungkin bukan yang terbaik, kataku. Habis apa lagi yang kita boleh buat?

Kalau aku...

Aku akan mendefinasikan semula status Bumiputera itu sendiri. Kalau perlu, perbaharui kontrak sosial di Malaysia. Aku mahu status Bumiputera itu satu status yang tidak bergantung kepada warna kulit, keturunan mahupun status mereka dalam masyarakat. Aku mahu status Bumiputera itu seperti kewarganegaraan, sesuatu yang boleh dipohon, dianugerahkan dan juga ditarik balik.

Non-bumi juga mahu memberikan kontribusi kepada negara ini. Mereka juga sanggup menumpah darah jika perlu, berkorban jika mampu. Selama ini mereka kurang diberi peluang sungguhpun jelas miskin, jelas tak mampu. Buka status bumiputera kepada mereka yang telah memberikan kontribusi yang besar kepada negara. Tak payah beri Datuk atau Tan Sri. Aku percaya status Bumiputera jauh lebih bernilai kepada mereka kerana ia bakal menjamin masa depan keluarga mereka. Bukakannya kepada mereka yang memainkan peranan besar memajukan negara dari aspek akademik, ekonomi, politik, sosial, sukan, pertahanan dan sebagainya.

Tetapi pada masa yang sama, status Bumiputera ini boleh dilucutkan pada bila2 masa. Penjenayah - perompak, perogol, perasuah, lanun, mereka yang korup - semua boleh dilucutkan status bumiputeranya, mengakibatkan mereka tidak dapat lagi menikmati kelebihan2 sebagai seorang bumiputera.

Ini membuatkan aku terfikir mekanisme yang sesuai bagi membolehkan sistem ini dijayakan:

i. Buka status Bumiputera kepada semua rakyat Malaysia yang lahir di Malaysia dengan salah seorang dari ibubapa mereka rakyat Malaysia tulen, fasih bertutur Bahasa Malaysia serta lengkap memenuhi ciri2 rakyat Malaysia yang patriotik.

ii. Sediakan mekanisme untuk pengguguran status Bumiputera kepada sesiapa yang dianggap mahkamah sebagai tidak lagi sesuai untuk memegang status tersebut.

iii. Definasi semula DEB dalam pemberian kelebihan kepada Bumiputera.

iv. Hentikan penganugerahan Bumiputera secara automatik (sejak lahir).

Ya, ramai yang akan memberontak, tetapi kalau sebahagian besar orang2 Melayu sudah menyokong PR, aku pasti mereka sebenarnya sudah sedia nak melepaskan hak2 Melayu, kan? Kenapa aku tulis semua ni?

Kerana aku ada idea. Aku ingin berkongsi kemungkinan yang boleh berlaku. Itu aku. Aku arkitek. Aku lihat pada penyelesaian, bukan pada masalah. Betul, penyelesaian isu Bumiputera ni bakal menimbulkan lebih banyak masalah. Aku yakin aku boleh menangkis masalah2 yang timbul dengan pelbagai penyelesaian yang radikal. Berikan aku masa.